TEKNIK IMBaKUP
I = Isi (apa) - (1 ayat)
M = Mengapa - (3 - 4 ayat)
Ba = Bagaimana (contoh) - (2 - 3 ayat)
K = Kesan contoh yang menyokong isi - ( 2 - 3 ayat)
P = Penegas (1 ayat)
Contoh teknik IMBaKUP yang diaplikasikan dalam penulisan karangan.
TAJUK: Peranan ibu bapa untuk menangani gejala sosial
Isi:
- memberikan didikan agama
Mengapa:
1. menjadi benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi
2. panduan hidup yang berkesan daripada terjerumus ke lembah kehinaan
3. dapat membezakan permata dengan batu kelikir
Bagaimana:
1. mendidik sejak kecil lagi amal makruf nahi mungkar - melentur buluh biar dari rebungnya
2. memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat - solat itu tiang agama - mampu mencegah kemungkaran
Kesan:
1. Takut balasan Tuhan - tidak terlibat dalam gejala sosial
2. Dapat melahirkan modal insan yang beriman dan berakhlak mulia
Ungkapan Menarik:
Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh.”
Penegas:
Didikan agama yang mantap merupakan elemen /wahana/wadah yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing.
Contoh perenggan isi yang lengkap
Peranan ibu bapa yang signifikan untuk menangani gejala sosial pada hari ini ialah ibu bapa perlulah memberikan didikan agama yang teguh kepada anak-anak(Isi). Hal ini dikatakan demikian kerana agama merupakan benteng pertahanan diri yang paling ampuh untuk menangkis anasir-anasir negatif yang dibawa masuk melalui tingkap globalisasi. Dengan adanya didikan agama juga anak-anak dapat membezakan permata dengan batu kelikir kerana mereka telah menjadikan agama sebagai panduan hidup yang paling afdal daripada terjerumus ke lembah kehinaan seperti vandalisme, gengsterisme, merempit, ponteng sekolah dan sebagainya. Tanpa agama, kehidupan seseorang itu akan menjadi terumbang-ambing ibarat kapal tanpa nakhoda(Mengapa). Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan didikan agama sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Dengan ini, mereka akan sentiasa melakukan amal makruf nahi mungkar. Bukan itu sahaja, ibu bapa bapa haruslah memastikan anak-anak tidak meninggalkan solat kerana solat itu tiang agama yang mampu mencegah kemungkaran(Bagaimana). Sebagai kesan, anak-anak yang memiliki didikan agama yang mantap akan berasa takut akan balasan Tuhan lalu tidak terlibat dalam gejala sosial yang akan merosakkan masa depan mereka. Secara implisitnya, usaha kerajaan untuk modal insan yang beriman dan berakhlak mulia dapat dilahirkan serta gejala sosial dapat ditangani(Kesan). Benarlah kata Albert Eistein, “Agama tanpa ilmu akan buta, ilmu tanpa agama akan lumpuh”(Ungkapan Menarik). Izharlah bahawa didikan agama yang mantap merupakan antara wahana yang berkesan untuk mengekang gejala sosial daripada meruncing(Penegas).